Cadangan Menu Sesuai Buat Ibu Menghidap GDM ( Diabetes Ketika Hamil )

Salah satu sumber tenaga dalam badan kita ialah gula ( glukos ) . Badan kita menggunakan sejenis hormone yang dipanggil insulin untuk mengawal jumlah gula dalam darah. Ia juga berfungsi menukar gula kepada bahan bakar untuk digunakan oleh badan.

Ibu hamil yang menghidapi GDM, badannya tidak menghasilkan insulin yang cukup. Akibatnya, tahap gula dalam darah menjadi sangat tinggi dan boleh menyebabkan masalah kepada bayi.

( Baca di SINI untuk ketahui risiko GDM kepada ibu dan bayi )

Tahap gula dalam darah boleh dikawal dengan mengubah cara pemakanan dan melakukan senaman dengan kerap. Di antara 80% dan 90% wanita yang menghidap GDM dapat mengawalnya dengan cara ini.

Menu Dan Diet Sesuai Buat Ibu Menghidap GDM

1# Sarapan Pagi Berkhasiat

Sarapan yang sihat dapat membantu mengawal tahap gula dalam darah  Bubur adalah salah satu pilihan yang baik kerana ia membebaskan tenaga secara perlahan-lahan.

Bijirin atau roti bijian penuh dengan sedikit makanan berprotein tinggi seperti yogurt rendah lemak atau telur rebus juga adalahpilihan yang baik.

2# Makan Makanan Yang Berserat Tinggi

Makanan berserat tinggi biasanya mempunyai GI yang rendah. Ini dapat membantu mengelakkan tahap gula dalam darah anda menjadi terlalu tinggi selepas makan. Makanan yang berserat tinggi termasuk:

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran segar
  • Roti dan bijirin sarapan daripada bijian penuh
  • Kekacang yang dikeringkan

3# Makan Pelbagai Jenis Makanan Berkhasiat Pada Waktu Siang

Makanlah dengan kerap tetapi dengan kuantiti yang sedikit. Waktu snek dan minum petang boleh diganti dengan makanan dan kudap-kudapan berserat tinggi. Elakkan biskut, kek dan minuman yang manis.

4# Kurangkan Lemak Terutamanya Lemak Tepu

  • Hadkan penggunaan minyak untuk memasak dan gunakan minyak zaitun dalam penyediaan salad.
  • Gantikan mentega dengan sapuan lain yang tinggi kandungan lemak poli tidak tepu
  • Pilih untuk memasak dengan cara kukus atau panggang berbanding menggoreng.
  • Buang lemak pada daging atau ayam

5# Jangan Tinggal ( Skip ) Waktu Makan

Setiap hari, pastikan makan pada masa yang sama dan pada jumlah yang sama setiap kali. Ini dapat membantu tahap gula dalam darah anda kekal stabil.

6# 5 Hidangan Setiap Hari

Makan sekurang-kurangnya lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Variasikan menu, contohnya :

  • Campurkan buah-buahan ke dalam bijirin sarapan atau yogurt
  • Tambah salad kepada sandwic sewaktu makan tengahari.
  •  Pilih dua jenis sayur-sayuran dengan hidangan waktu makan utama
  • Jadikan buah sebagai snek berbanding biskut atau kek

7# Kurangkan Makanan Dan Minuman Manis

Kurangkan atau jika boleh, elakkan terus  gula-gula, minuman berkarbonat, jus buah-buahan dan kebanyakan pencuci mulut yang lain.

Makanan seperti ini mengandungi gula ringkas yang mudah diserap oleh badan. Ia boleh meningkatkan tahap gula dalam darah dengan cepat.

Jika teringin minum minuman manis, kita boleh cairkan jus buah dengan air. Campurkan kira-kira 1/4 jus dengan 3/4 air dan minum sekali sehari. Pada masa lain, minumlah air kosong dan minuman lain yang tidak bergula.

Semoga bermanfaat !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge