5 Adab Belajar Seorang Muslim

Dengan nama Allah, Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani.

Dalam meniti kehidupan menuju ke negeri abadi, pembelajaran dan menuntut ilmu merupakan satu proses hidup yang kita semua lalui sebagai seorang muslim.

Tidak kira pembelajaran secara formal atau tidak, terdapat had dan adab yang kita perlu jaga sepanjang proses pembelajaran tersebut. Ini akan mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah Taala.

Adab Belajar Bagi Seorang Muslim

Terdapat beberapa adab yang perlu dijaga bagi seorang muslim dalam tempoh menuntut ilmu, antaranya ;

1# Niat Ikhlas

Niat kita harus jelas dan ikhlas – kerana Allah Taala. Jika niat kerana kemasyhuran dan pangkat, itulah yang kita akan dapat kerana setiap perbuatan dan amal kita bergantung kepada niat.

Dari Abi Darda R.A berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “ Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayapnya (memayungkan sayapnya) kepada penuntut ilmu kerana senang (rela) dengan penuntut ilmu ” ( Hadith riwayat lbn Majah)

2# Sabar Kunci Utama

Bersabar adalah kunci utama bagi seorang penuntut ilmu. Sabar dengan segala kesulitan dan kepayahan. Juga bersabar dengan cabaran dan keperitan dalam proses menuntut ilmu.

Ilmu itu tidaklah mudah untuk kita dapatkan dengan rasa senang dan jasad yang santai. Ia memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang sangat tinggi kerana Allah sediakan pahala yang besar bagi mereka yang berada di jalan menuntut ilmu 🙂

3# Jaga Adab

Antara adab penting yang perlu diberi penekanan adalah adab dengan orang yang memberikan ilmu. Walaupun pemberi ilmu ( guru ) itu muda dan lebih kecil daripada kita.

Guru adalah sumber keberkatan. Raihlah redha guru, Insya Allah proses pembelajaran dimudahkan Allah Taala.

4#  Rendah Diri

Sifat tawadhu’ atau rendah diri merupakan sifat terpuji bagi seorang penuntut ilmu. Ilmu Allah sangatlah luas, semakin banyak kita belajar semakin banyak kita mengenal Allah dan merasa diri kita kerdil di sisiNya.

Jadilah seperti resam padi, makin tunduk bila penuh berisi. Begitu juga kita hendaknya, makin penuh ilmu di dada makin tunduk dan patuh kepada syariat dan pencipta 🙂

5# Jauhi Maksiat

Ilmu itu cahaya kehidupan. Maksiat tidak bersatu dengan cahaya dan maksiat menggelapkan hati orang yang menuntut ilmu. Maksiat juga menjadikan kita susah untuk menerima ilmu.

Tinggalkanlah maksiat seperti mana kita benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

Semoga Allah sentiasa memberkati langkah kita dalam menuntut ilmu seterusnya merahmati para guru kita dan mengurniakan pahala yang berpanjangan buat mereka yang telah banyak berjasa menjadikan kita insan yang berguna 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge