Hikmah Perut Kosong

Sistem tubuh kita bekerja setiap hari tanpa henti. Adakala ia bertugas penuh efisyen, ada masa ia memerlukan usaha yang lebih kerana tidak dapat menampung sumber yang masuk dalam tubuh kita. Begitu juga dengan perut kita. Seharian bekerja mencerna makanan yang kita kunyah hampir setiap masa. Bila tidur, baru perut dapat berehat sedikit kerana kita berhenti makan dan mengunyah.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud ” Perut adalah gudang penyakit dan puasa adalah ubatnya” ( Riwayat Muslim ).

Ya, punca terjadinya pelbagai penyakit datangnya dari perut. Kita sering makan makanan yang tidak berkhasiat, tinggi kolestrol, kaya lemak dan bermacam jenis makanan lagi. Semua yang disebut rasanya sedap melalui tekak, namun tanpa sedar boleh membinasakan perut dan tubuh badan kita.

Inilah hikmah bulan puasa iaitu bulan Ramadhan yang tersingkap. Setelah sebelas bulan kita penuhi perut kita dengan makanan dan minuman, Allah telah mewajibkan umat Islam berpuasa selama satu bulan untuk mencegah dan merawat sistem pencernaan daripada bekerja lebih dari yang sepatutnya.

HIKMAH PERUT KOSONG

Puasa adalah satu kewajipan bagi seorang muslim yang tercatat dalam rukun Islam. Tujuan utama puasa adalah kerana menurut perintah Allah dan RasulNya seterusnya menjadikan kita lebih dekat dengan Allah dan menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah sesuai dengan firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 183 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : “ Wahai orang – orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu puasa  sepertimana diwajibkan ke atas orang – orang sebelum kamu, mudah – mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa “.

Berikut merupakan hikmah perut kosong iaitu berpuasa, antaranya :

1# Jalan Penghapus Dosa

Abu Hurairah RA meriwayatkan, Baginda Nabi SAW bersabda :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَاتَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَاتَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. Barangsiapa mendirikan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Landasan iman adalah penentunya. Hidupkanlah Ramadhan dengan penuh harap, moga kita semua mendapat pengampunan dari Allah Taala.

2# Melatih Kesabaran

Puasa bukan hanya mengosongkan perut menahan lapar dahaga, namun ia membawa maksud lebih dari itu. Puasa sebagai medan latihan untuk mengawal emosi dan tindakan agar tidak tersasar dari landasan yang benar.

Bukan hanya sekadar perut yang berpuasa, malah seluruh anggota badan turut ‘puasa’ dari melakukan perbuatan yang sia – sia dan mungkar. Puasa membersihkan rohani agar kita dapat menghidupkan 11 bulan yang seterusnya dengan lebih baik 🙂

3# Sebagai Perisai Diri

Perut kosong dan rasa lapar itu mengekang hawa nafsu dan menundukkan syahwat ( keinginan ) untuk melakukan perkara yang tidak disukai dan dilarang dalam agama.

Rasulullah SAW bersabda :

الصِّيَامُ جُنَّةٌ وَهُوَ حِصْنٌ مِنْ حُصُونِ الْمُؤْمِنِ

Maksudnya : “Puasa adalah perisai. Ia adalah satu benteng dari benteng – benteng orang Mukmin.”

Apabila berpuasa, secara automatik kita akan melindungi dan menahan diri dari melakukan dosa. Dengan berpuasa, kita akan selalu berusaha menjaga diri untuk tidak melakukan perkara yang dilarang Allah dan berusaha membuat perkara kebaikan.

4# Mencerdaskan Otak

Lapar dan perut kosong juga ada manfaatnya dari sudut rohani dan kesihatan. Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, “ Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.”

Perut yang terlampau kenyang membawa kepada rasa malas dan cepat mengantuk, seterusnya menggelapkan hati dan melembabkan otak. Ramadhan adalah bulan tarbiyah terbaik untuk kita aplikasi amal untuk kehidupan yang lebih baik 🙂

5# Menjaga Kesihatan Tubuh

Manfaat perut kosong atau puasa ini sebagai bentuk pemeliharaan kepada tubuh kita.

Sabda Nabi SAW :

صُوْمُوْا تَصِحُّوْا

Maksudnya : “Berpuasalah kalian, nescaya kalian akan sihat.” ( Riwayat Thabrani )

Allah yang menciptakan manusia dan Allah jua yang jauh lebih mengetahui bagaimana sistem servis yang tepat untuk ciptaannya. Hebat kan ? Subhanallah !

Puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Antaranya menurunkan paras gula dalam darah, menstabilkan tekanan darah, dan menurunkan berat badan.

6# Meningkatkan Kepekaan Sosial

Lapar dan dahaga yang kita rasai ketika bulan Ramadhan akan menjadikan kita lebih peka dan sensitif terhadap mereka yang hidup jauh lebih susah daripada kita.

Jika tidak berpuasa kita mampu makan hingga 6 kali sehari, akan tetapi mereka di kalangan golongan yang susah mungkin hanya makan sekali sehari atau ada yang tidak makan berhari – hari pun ! Allahu Akbar..

Allah jentik hati kita untuk bermuhasabah dan merenung diri. Merasai kesusahan mereka yang kelaparan dan kebuluran. Agar kita sentiasa bersyukur dan menjadi orang yang tangannya selalu memberi sebelum mereka meminta – minta. Jika ramai yang peka, menjalani hidup pada bulan Ramadhan dengan sederhana, banyakkan sedeqah membantu mereka yang kesusahan, Insya Allah mendapat ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah.

Semoga Ramadhan kali ini penuh makna buat kita. Dapat menghayati dan menginspirasikan orang lain 🙂

Boleh baca juga Rahsia Ibu Hamil Cergas Bertenaga Walaupun Berpuasa.

Moga Allah berkati Ramadhan kita dan mendapat ampunan dariNya !

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge