4 Tips Mudah Atasi Kejang Kaki Semasa Hamil

Kejang kaki kerap berlaku di kalangan ibu yang sedang hamil dan biasanya terjadi pada fasa kehamilan trimester kedua dan ketiga. Otot yang biasanya menegang adalah otot betis. Rasanya sangatlah sakit dan membuatkan kita terjaga daripada tidur pada waktu malam. Walaupun rasa kejang itu menyebabkan kesakitan yang teruk berlangsung selama beberapa minit, ia tidak menjejaskan kesihatan otot betis.

MENGAPA KEJANG KAKI BERLAKU ?

1# Kekurangan nutrien  seperti kalsium atau magnesium dalam darah. Kekurangan ini berlaku kerana bayi dalam kandungan  mengambil apa yang diperlukannya daripada simpanan badan ibu.

2# Uterus (rahim)  yang semakin membesar memberi tekanan ke atas salur darah besar pada kaki. Serta kesan daripada hormon kehamilan iaitu progesteron juga boleh memberi kesan kepada otot kaki.

3# Kandungan yang sarat juga membuatkan otot kaki letih seperti pergerakan berlari, bersukan dan berdiri lama.

CARA ATASI KEJANG KAKI SEMASA HAMIL

Berikut antara tips mudah untuk atasi kekejangan kaki semasa kehamilan ;

1# Buat Senaman Regangan

Rasa penat dan letih selalu membuatkan ibu hamil malas bergerak. Namun, hal ini tidak sepatutnya dibiarkan terus kerana pergerakan yang kurang dan minima lebih cenderung untuk diserang sakit kejang pada otot.

Boleh cuba senaman mudah ini yang disarankan oleh BabyCenter :

  • Senaman regangan kaki – berdiri satu meter daripada dinding dan unjurkan badan ke hadapan dengan tangan diregangkan untuk menyentuh dinding. Pastikan tapak kaki melekap pada lantai. Tahan selama lima saat. Ulang senaman ini selama lima minit, tiga kali sehari terutamanya sebelum masuk tidur.
  • Senaman tapak kaki – Bengkokkan tapak kaki ke bawah dan kemudian tegakkan ke atas dengan cepat sebanyak 30 kali. Buat pada kedua-dua belah kaki. Kemudian, ulangi dengan membengkokkan tapak kaki ke atas sebanyak lapan kali dan ke bawah lapan kali.

2# Minum Air Kosong Secukupnya

Air kosong membantu untuk mengatasi masalah kekejangan otot ketika hamil. Minumlah air kosong minima 8 gelas sehari untuk mendapatkan tenaga dan mengelakkan rasa kejang tersebut. Pengambilan air yang cukup adalah asas kepada kesihatan tubuh badan.

Jika tidak lalu minum air kosong, buatlah jus buah tanpa gula untuk kita kekalkan bendalir dalam badan supaya tidak dehydrate.

3# Tinggikan Kaki Semasa Tidur

Ya, ini antara tips yang biasa kita dengar iaitu tinggikan kaki semasa tidur untuk atasi masalah kekejangan. Letakkan bantal di bawah kaki untuk menyokongnya dan tidurlah dalam posisi yang selesa.

Elakkan tidur dengan kaki bergantung dan menghala ke bawah kerana ia mengganggu peredaran darah berjalan lancar.

4# Ambil Makanan Tinggi Kalsium

Kekejangan selalu dikaitkan dengan kekurangan kalsium dan magnesium. Jadi, ambillah makanan dan minuman yang tinggi sumber kalsiumnya. Jangan lupa untuk makan supplemen atau ubat yang dibekalkan oleh doktor sepanjang kehamilan.

Jika tidak lalu minum susu atau makan makanan yang mengandungi kalsium dengan banyak, boleh ambil pil kalsium untuk menampung keperluan nutrien dan kalsium dalam badan.

Setiap masalah ada penyelesaiannya. Oleh itu ikhtiarlah sehabis baik untuk kebaikan dan keselamatan diri semasa hamil dan juga bayi comel di dalam kandungan kita ! 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge